Monday, November 16, 2009

KETAM OH KETAM

Pagi ni dapat idea. Kawan kita "chair" taklimat pagi. Katanya masa dulu, kalau pangkat "satu balak" ni dah kira penyelia kanan. Bila ambil taklimat semua mata akan tertumpu padanya. Segala apa yang dia kata semuanya betul belaka. Semua arahanya dikut membabi buta. Itu dulu. Tapi sekarang ni "tiga balak", bila bercakap seperti mencurah air ke daun keladi. Langsung tak diendahkannya. Alasan mereka, tiga balak sekarang ni dah banyak and tak ada nilai, sebab dah bersepah-sepah dan ada di mana-mana. Semua ni gara-gara mutu disiplin yang terus merudum jatuh dek kerana kepincangan ketua yang sedia pincang. Bak kata pepatah "mengajar anak ketam berjalan betul", bapa ketam pun jalan senget, itu jugalah alasan yang diberi oleh mereka-mereka yang telah sedia senget. Bagaimana nak diperbetulkan "ketam-ketam" ini? Inilah budaya dan tradisi turun temurun. Bila dah jadi "adat" memang payah nak diubah. Cara yang berkesan ialah kesedaran pada diri sendiri. Perbetulkanlah diri sendiri supaya tidak pincang macam mereka-kereka yang terdahulu.

Wednesday, November 11, 2009

BAIK TAPI JANGAN TERLALU AKRAB

Halang tidak, suruh pun tidak. Tapi renung-renungkan. Menjalin dan mengeratkan silaturrahim itu adalah dituntut, manakala memutuskan perhubungan itu perbuatan yang paling dibenci. Sering kita dengar dan lihat atau mungkin alami sendiri peristiwa-peristiwa yang dinyatakan. Bagaimana ia terjadi? Dan apakah kesudahannya?
Pada saya apa yang sering diingatkan ialah bila bekerja, antara pekerja dengan boss mesti ada jarak yang membezakan. Walaupun boss dan pekerjanya seperti isi dan kulit. Jalinan perhubungan ini bukan sahaja setakat kerjaya sahaja, bahkan mungkin juga akan sampai ke "level" peribadi dan keluarga.
Keakraban ini mungikn akan membawa kepada sikap keterbukaan. Termasuklah juga hingga membawa kepada membuka pekung di dada. Sikap keterbukaan ini harus dipuji atau sebaliknya kerana ianya mungkin jujur atau tidak ikhlas atau mungkin juga mereka-reka untuk mendapatkan perhatian.
Begitu juga dalam "element" persahabatan. Kata orang lama "buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali". Dalam konteks "buat baik berpada-pada" ini membawa pengertian yang berbeza mengikut persepsi masing-masing. Pada saya, perhubungan samada dalam persahabatan, saudara-mara, pekerja dan majikan atau sesiapa pun juga dalam situasi ini harus ada batasannya. Dikhuatiri kata orang lama lagi "buat jahat jangan sekali" membawa maksud juga yang berbeza-beza. Sekali lagi, pada pendapat saya jangan sekali-kali kita melakukan kesilapan, pulangannya adalah sangat tidak tertanggung oleh emosi kita. Malu dapat, sakit pun dapat...bermaksud akan tercalarlah maruah dan akan sakitlah hati. Bila dua "pangkat" ini kita dapat, akan musnahlah perhubungan antara kawan2, saudara-mara, majikan dan pekerja dan sebagainya.
Oleh itu pada pendapat saya lagi, sila rujuk tajuk hasil nukilan saya.

Sunday, November 8, 2009

IJAZAH BERGULUNG, BODOHNYA BERLIPAT

Kita biasa dengar ada orang kata "sekolah tinggi bertingkat tapi bodohnya bertingkat-tingkat" maksudnya sekolah sahaja yang tinggi tapi otak "zero". Hari ini 8/11/2009 jam l/kurang 1400Hrs aku bersama group " the fantastic four " berjumpa dengan dengan seseorang yang popular di kalangan rakan-rakan tempat tinggal rumah aku. "Dia" datang ke komplek sukan UiTM sama macam kami, nak ambil exam...tapi paper lain2. Sedang kami bersembang, datang Pak Guard yang pakai uniform biru buat pengumuman tak rasmi " siapa punya kereta Myvi warna merah yang parking di atas sana, dah halang perjalanan kenderaan lain ". Masing-masing jawab tak tahu. "Dia" ni pulak menyampuk " tak payah alih, langgar je...boleh claim insuran". Tak lama lepas tu ada sebuah bas UiTM pulak bunyikan hon yang panjang, ada lagi.....kereta yang "block" jalan tu. Tiba2 ada satu "mamat" berlari ( owner kereta ) ke arah kereta tersebut, "Dia" ni pulak keluar slogan baru untuk "mamat" tu, belajar kat "U", dapat ijazah bergulung tapi bodoh berlipat, "the fantastic four" terkedu seketika, nak tergelak pun ada. Tak sangka pulak "Dia" nak ucapkan slogan tu. Kami hanya tersenyum...

Wednesday, November 4, 2009

" TUBA "

Biasanya "tuba" digunakan setelah usaha memancing dan memukat ikan gagal dilakukan. Tapi penggunaan "tuba" ini akan menyebabkan banyak pihak yang tidak mendapat kebaikan darinya. Kebiasaannya "tuba" digunakan oleh individu-individu yang tiada tanggungjawab dengan alam persekitaran dan manusia-manusia yang ada disekelilingnya. Apa yang penting bagi orang yang menggunakan "tuba" itu adalah untuk kepentingan peribadi individu itu sendiri. Cuba bayangkan, bagaimana risiko yang akan dihadapi oleh manusia-manusia yang ada di sekelilingnya sekirannya "tuba" itu digunakan dalam kotak pemikiran manusia. Maka akan tergadailah negara, harta, silaturrahim, kepercayaan, tanggungjawab, kredibiliti keluarga, saudara mara, sahabat handai dan pelbagai lagi akibat dari kesan sampingan racun yang bernama "tuba". Kesan yang paling mendalam akibat "tuba" ini ialah meracun pemikiran manusia. Telah menjadi tradisi sejak zaman jahiliah lagi, tuba-menuba ini menjadi senjata yang paling ampuh bagi individu tertentu untuk mendapatkan sesuatu imbuhan atau tempat. Nasihat dari hamba yang kerdil ini jangan gunakan "tuba" untuk mendapat "ikan".